BURUAN 103 PINGAT EMAS SUKAN PARA ASEAN KL2017 BERMULA

KUALA LUMPUR, 17 September 2017 – Secara rasminya buruan 103 pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 bermula selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan sukan dwitahunan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
 
Temasya edisi ke 9 itu dibuka dengan gilang gemilang melibatkan 1,452 atlet dari 11 negara iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia, Laos, Kemboja, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam dengan 368 pingat emas menjadi rebutan membabitkan 16 acara sukan.
 
Chef de Mission, Datuk Subramaniam Raman Nair mengetuai perarakan masuk kontinjen negara diikuti ikon paralimpik negara, Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly sebagai pembawa Jalur Gemilang.
 
Ikrar Sukan Para ASEAN dibaca atlet angkat berat paralimpik negara, Sharifah Raudzah Syed Akil.
 
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
 
Ini adalah kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN selepas sembilan edisi, dengan kali pertama ketika ia julung kali dipertandingkan pada 2001 dan kali kedua pada edisi 2009.