OLAHRAGA BUKA SAINGAN HARI PERTAMA DENGAN 6 PINGAT EMAS

KUALA LUMPUR, 19 September 2017 – Malaysia meraih 6 daripada 24 emas yang dipertandingkan pada hari pertama acara olahraga Sukan Para ASEAN ke 9 Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemenang pingat gangsa di Sukan Paralimpik Rio 2016, Siti Noor Radiah Ismail mencetak nama selaku penyumbang emas pertama olahraga dalam acara lompat jauh T20 selepas melakukan lompatan sejauh 4.99 meter, manakala perak pula disumbangkan Nani Shahiera Zawawi yang mencatat 4.78 meter.

Faridul Masri tuai emas kedua negara menerusi acara merejam lembing F56, diikuti Eddy Bernard yang berjaya meraih emas dalam acara 100 meter T37, menewaskan rakan senegara Jacklo Ganding yang meraih perak.

Afiq Ali Hanafiah pula menebus kekecewaan pingat gangsa dua tahun lalu di Singapura dengan meraih pingat emas dalam acara 100 metar lelaki T12.

Hemala Devi terus menceriakan kem negara dengan pingat emas kelima selepas menguasai acara lempar cakera F12 dengan catatan 32.46 meter, manakala seorang lagi atlet negara, Noor Kalsum Fadil meraih gangsa.

Siti Nor Iasah Ariffin melengkapkan pungutan 6 pingat emas Malaysia pada hari pertama saingan dengan memenangi acara 800 meter wanita T20, manakala rakan senegara Maswinah Suanang raih gangsa.

Dalam pada itu, Felicia Mikat gagal mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu selepas meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter wanita T13.

Manakala Eryanto Bahtiar raih perak lompat jauh lelaki T46/47 dan Erwan Mohd Hasnoor sumbang gangsa 100 meter lelaki T38.